~Aku berpindah~

•January 25, 2009 • Leave a Comment

Assalamualaikum wth,

Makluman untuk kalian yang datang berkunjung ke blog aku. Aku telah berpindah ke http://akudankatarsis.blogspot.com  .. Harap Maklum J

~ Air Mata Abah ~

•January 16, 2009 • 5 Comments

Assalamualaikum wth,

Hari ini tidak rasa mahu menulis. Tetapi rasa ingin kongsi dengan kalian cerpen yang telah 2 tahun aku kira usianya. Cerpen pertama aku. Cerpen ini dimuatkan dalam antologi cerpen Jalan Jauh ke Ramallah terbitan Grup Karyawan Luar Negara (GKLN). Lama tidak menghasilkan tulisan genre cerpen ini, belum ketemu waktu yang sesuai. InsyaALLAH akan cuba untuk siapkan satu sebelum masuk semester baru nanti. Perlu azam yang kuat untuk siapkannya. Dalam proses mengumpul idea untuk penulisan yang sudah ada rangkanya, harus meneliti beberapa perkara agar cerpen ku ini tidak nampak klise. Aha~ Mampukah?

Air mata Abah

        Redup mata abah menanti kami untuk bersarapan.abah tidak pernah marah mahupun meninggikan suaranya pada kami.cukuplah abah memberi peringatan pada kami,sudah cukup untuk kami geruni katanya.abah orang mudah tersenyum dan selalu berjenaka tapi bagi kami itu bukan alasan untuk kami tidak menghormatinya.kata abah senyuman abah bukan untuk anak-anak abah berlaku biadap,itu semua buat kami merasa hormat padanya.

          Abah bukan orang senang.abah hanya seorang peniaga daging kecil-kecilan dipasar.pagi abah telah ke pasar,meninggalkan emak kepada kami.emak selalu kata kalau mahu hidup senang kemudian hari nanti belajarlah.mak selalu pesan belajarlah bersungguh untuk ubah nasib keluarga kita.kami selalu terdiam mendengar bicara emak.emak bukan seorang yang banyak bicara.pagi lagi emak bangun untuk membuat kuih untuk dijual dikantin sekolah.mak tidak pernah merungut tidak hidup dalam kemewahan.emak kami lihat sentiasa membantu abah.

          Satu hari abah sakit,waktu itu kami kecil lagi.kata emak terkena buatan orang.abah tidak berjenaka lagi,abah tidak tersenyum lagi.abah selalu marah-marah.kami takut.pernah sekali kami dirotan abah kerana bising bermain di dalam rumah.kami menangis.emak pujuk dengan menyapu minyak di belakang badan.kami kata benci abah,mak kata jangan begitu,lembut mak berkata.abah sakit sebab itu abah marah.jangan benci abah,ALLAH marah orang yang tidak kasihkan emak dan abahnya.kami akur kata emak.

          Kami menginjak dewasa.tapi,kami tidak pernah hidup mewah.abah dan emak tidak pernah beri kami erti hidup kemewahan.kami akur dan kami semakin mengerti mengapa.kami belajar bersungguh-sungguh kerana tidak mahu lihat emak menjual kuih,tidak mahu melihat abah mengangkat barang-barang berat untuk di jual.emak banyak membantu abah,pernah emak menjual sayur untuk menyara hidup kami.abah sakit tika itu.abah tidak boleh bekerja.abah sakit terkena buatan orang.orang sekeliling memarahi emak kerana mahu menyara abah yang tidak boleh bekerja.emak diam.abah dicemuh,emak bersabar.kata emak mereka tidak faham apa yang emak alami.kami marah dengan mereka.kami berjanji akan mengubah nasib mak dan abah.

          Satu hari,along dapat tawaran belajar di luar Negara.mak dan abah gembira.tapi,along tidak mahu pergi,kata along banyak duit yang diperlukan untuk perbelanjaan ke luar Negara.abah marah.kata abah biar abah terpaksa mengemis abah akan buat asal abah dapat lihat anak-anak abah berjaya.akhirnya,along terbang jua meninggalkan mak dan abah.along belajar bersungguh-sungguh di luar Negara.along tidak akan melupakan kata adik yang abah bekerja sebagai jaga pada waktu malam di sebuah kondominium mewah.kata adik abah terpaksa memapah orang-orang mabuk di kondominium itu.along menangis.along janji akan belajar dan akan pulang dengan  segulung ijazah.

          Masih kami ingat.abah sakit sekali lagi,kata emak orang yang sama buat perkara tidak baik pada abah.kasihan abah,abah di kata gila.abah dimasukkan ke dalam hospital orang sakit jiwa.abah diikat dengan gari.kata doktor abah mengganas.abah harus di ikat kerana abah akan mencederakan orang lain.kami menangis.emak juga menangis.kata emak doakan abah selamat.seminggu abah di sana.setelah abah keluar,abah menangis ketika melihat kami di rumah.kata abah,abah tidak berniat nak menyusahkan kami semua.abah menangis.abah minta maaf pada emak,emak menangis dan menenangkan abah.kami bertekad untuk menunjukkan pada orang lain abah dan emak telah mendidik kami dengan sebaiknya biarpun hidup kami susah.ketika along mendapat tawaran belajar ke luar Negara.orang kata anak orang gila dapat pergi luar Negara,along sedih dan menangis.setelah along pergi angah mendapat tawaran asrama penuh.orang sekeliling senyap tanpa bicara.

          Angah menerima pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia  di sekolahnya.Angah dapat tawaran belajar di luar Negara dalam bidang perubatan.Angah menangis kerana dapat mencapai impian yang satu ini.kata Angah,dia mahu ubati abah,Angah tak mahu orang kata abah gila dan angah tak mahu kami digelar anak orang gila.Mak dan abah gembira dengan kejayaan angah.Kata angah doakan angah berjaya,bidang yang angah ambil ini agak sukar.aku tidak mengerti,apa yang aku mengerti tika itu,angah bakal menjadi seorang doktor.aku khabarkan pada mak yang aku ingin jadi seperti angah dan along.mahu belajar sampai ke luar Negara.mak ingatkan aku kalau mahu jadi seperti along dan angah kena rajin belajar.aku mengangguk tanda mengerti.

          Along pulang ke tanah air selepas mendapat Masters(MA) dalam bidang syariah.angah juga pulang ke tanah air dengan segulung ijazah dalam bidang perubatan.abang Redha pula meneruskan perniagaan abah,abang Redha tidak mahu menyambung pelajaran katanya,dia yakin dapat meluaskan perniagaan abah.Emak setuju abang Redha meneruskan perniagaan abah sekiranya abang Redha mahu menyambung pelajarannya.abang Redha akur dengan kata-kata emak.Kini,abang Redha telah membuka beberapa cawangan perniagaan milik abah yang dinamakan Zahidha SDN BHD.Aku sendiri yang baru menginjak umur 16 tahun telah mendapat tawaran bekajar di asrama penuh di utara.aku tidak akan lupa janji aku pada mak untuk belajar di luar Negara seperti along dan angah.

Along sekarang bergelar peguam syariah di sebuah firma guaman terkemuka di kuala Lumpur.Angah pula menjadi doktor muda di hospital pakar.Abang Redha masih terus gigih mengusahakan perniagaan abah.Mak dan abah kini tidak lagi bekerja seperti dahulu.abang Redha masih lagi tinggal bersama dengan mak dan abah kerana mahu menjaga mak dan abah.along dan angah pula akan pulang ke kampung tiap hujug minggu.Aku sendiri akan pulang ke kampung yang terletak di selatan itu jika punya cuti hujung bulan.Kehidupan mak dan abah semakin senang kini.

          Aku juga semakin gembira kerana tiada lagi orang memanggil abah orang gila dan tiada lagi orang yang memanggil kami sebagai anak orang gila.Along,angah dan abang Redha benar-benar menunaikan janji mereka untuk tidak melihat mak dan abah susah di hari tua mereka.Aku berbangga dengan kejayaan abang dan kedua orang kakakku.aku sendiri memasang cita-cita untuk barjaya seperti abang dan kakakku.

          Along bakal berkahwin,mengikut pilihan mak dan abah.Kami sekeluarga gembira.Along pastinya lebih gembira.Majlis along dirancang dalam majlis yang sederhana.Kata bakal abang iparku tidak perlu untuk membazir cukuplah sekadar dapat menghidangkan orang ramai seadanya dan orang mengetahui perkahwinan mereka berdua.Mak dan abah mengikut sahaja keputusan along dan abang shah.Menjelang hari perkahwinan along dan abang shah serta kami sekeluarga semakin sibuk.Along sendiri nampak sedikit susut badannya memandangkan banyak kerja dipejabat yang harus diuruskan.Kasihan along.Oleh kerana terlalu penat,along demam dua minggu sebelum majlis perkahwinannya.

Majlis yang dinantikan telah tiba,hari bahagia along dan abang shah bakal disambut di sebuah dewan orang ramai di kampungku.Namun,peristiwa lama berdarah kembali.Abah sakit dan tidak mahu mewalikan along untuk bernikah.Aku dapat melihat along menangis dalam pakaian nikahnya.Puas mak memujuk abah tapi jawapan abah tetap sama.Abah tidak mahu keluar daripada biliknya,dia hanya berkurung di dalam bilik.akhirnya abang Redha mewalikan along.aku nampak kesedihan along.sebaik sahaja tamat majlis akad nikah.Abang shah memeluk along dan menenangkan along.Ramai orang bercakap mengenai majlis akad nikah tadi,Orang ramai memarahi abah.aku lihat along,angah dan abang Redha hanya berdiam diri,emak juga begitu.emak meningatkan kami supaya tidak marah kerana mereka tidak faham apa yang abah alami.Mak tanya along,along marah pada abah?along jawab tidak,’along faham keadaan abah,emak’.aku lihat emak memeluk along dan mengucapkan terima kasih.

Aku sendiri merasa bangga dengan along,aku juga merasa emak telah berjaya mendidik anak-anaknya sebaiknya.sewaktu emak mengucapkan terima kasih pada along,ramai along melihat mak dan along.mereka semua menangis,ucapan maaf berulang kali dilafazkan oleh mereka.memang benar kata emak kalau kita bersabar,pengakhirannya pasti adalah yang terbaik.hari ini,semua mereka yang mengatakan abah gila dan kami adalah anak-anak oran gila berdiam diri melihat kesabaran kami.abang shah sendiri  telah berucap pada orang ramai pada hari ini.

 “kita tidak pernah berada di tempat mereka ketika susahnya mereka,kita tidak pernah merasa seperti mana mereka rasa.saya pernah melihat isteri saya ini menangis sewaktu kami sama-sama belajar di luar Negara,saya tanya kenapa?jawabnya ujian Allah untuk saya dan keluarga agar punya kemanisan di kemudian hari.tidak sekali dia katakan pada saya abahnya sakit.saya tahu mak mertua saya pernah menjual sayur di tepi jalan untuk menyara isteri saya dan adik-adiknya.apa yang kita buat lakukan untuk mereka?adakah kita bantu mereka?adakah kita meringankan beban mereka?jawapannya tidak sama sekali,kita mencemuh,kita memandang jelik,kita tersenyum sinis,kita hancurkan hati mereka yang sedia sedih dengan kata-kata tidak beradab.kita katakan mereka duduk dengan orang gila.tepat sekali kelakuan kita,anak orang gila ini sudah bergelar peguam,anak orang gila ini sudah menjadi doktor,anak orang gila ini sudah menjadi ahli perniagaan dan anak orang gila ini salah seorang pelajar harapan sekolah berasrama penuh.ini semua berkat didikan orang gila tadi bukan?abang shah lantas menarik tangan emak dan menciumnya.Terus sahaja meluncur kata maaf buat emak.Emak tersenyum melihat abang shah dan berpesan jagalah along dan didiklah along sebaiknya.Aku melihat air jernih jatuh lagi daripada kelopak mata along dan orang lain juga.

       Aku bersyukur kerana abang shah telah membela nasib kami pada hari ini.kami sekeluarga berpelukan sesama sendiri.aku melihat senyuman setiap ahli keluargaku,aku sendiri tersenyum melihat senyuman emak,biarpun abah tidak berada bersama kami namun aku dapat melihat abah dari kejauhan.abah melihat kami dari tingkap biliknya sambil air mata seorang ayah jatuh sekali lagi,jatuh bukan kerana kesedihan tetapi berasa bangga dengan anak-anaknya.

 

Erm, rasa mahu membuat kesenimambungan ‘Air Mata Abah’ tetapi masih perlukan idea juga. Moga mendapat manfaat dari pembacaan. Menulis adakala luahan hati manusia, tidak mampu diluah melalui perkataan lalu diluah kepada bentuk penulisan dan natijahnya jiwa menjadi lapang. Perjuangan tinta yang tidak ada noktahnya. ~Mengerti?~

P/S : Selamat Hari Lahir

Nurhafizah Anuar yang ke 22.

Moga diberkati olehNYA J

~ Mungkinkah bersatu? ~

•January 11, 2009 • 1 Comment

 

hamas_rally2

Assalamualaikum wth,

Alhamdulillah, syukur  setinggi-tinggi kesyukuran dipanjat kepada Ilahi. Aku masih punya kesempatan berada di hadapan notebook kesayanganku ini. Masih berpeluang untuk menaip, berbual bersama keluarga, belajar dan berjumpa sahabat-sahabat seperjuanganku. Dalam doa dan sujudku Ya RABB, seringkali tumpah air mata untuk Palestin. Hari ke-16 rejim Zionis terus mara megah menyandang ego juga ketidakperimanusiaan mereka, saudaraku di Gaza, bagaimanakah kalian? Sedari dulu hingga kini, kami umat islam masih tidak dapat membantu keganasan rejim Zionis pada kalian. Kami masih belum mampu bersatu menjadi satu saf  tentera islam yang memperjuangkan agamanya. Kami masih tidak menyahut firman Allah SWT dalam surah As-Saff :

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوصٌ

“ Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalanNYA  seperti satu saf  yang teratur seakan-akan satu bangunan yang kukuh” (As-saff : 4 )

            Dunia pejamkan mata serta terpasung tangannya, tidak mampu berbuat apa sedangkan mungkar terus beraja. Lirik lagu Siti Nurhaliza yang aku dengar di blog sahabat ku sebentar tadi bermain di benakku. [ Oda Bumi Anbia’ ] Jatuh air mata melihat apa yang terjadi di Palestin, seperti kata Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia (PMMM), andai boleh kami menukarkan perjuangan pena ini dengan perjuangan senjata di gaza sudah pasti kami lakukan. Bangunlah anak muda, mari kita menjadi saf-saf yang kuat untuk kita hancurkan Israel dan sekutunya. Mungkin bukan sekarang waktu perjuangan sebenar kita tapi bukankah sudah seharusnya dipupuk semangat cintakan jalan jihad ini!! Keturunan Nazi itu lupa kalau mereka hanya berasal dari sebuah kapal!!! Tidak ada negara, tidak ada nama Israel dalam peta dunia, lagu negara “Hatikva”nya yang konon menggambarkan pengharapan 2000 tahun berjuang untuk tanah mereka! Kau tidak pernak layak Zionis. Sampai kapan pu kau tidak pernah layak!

            Kenapa tidak kita yang sedang bebas melakukan perkara ini tidak bersatu? Mungkin benar, andai kita bersatu kini tiada apa yang dapat kita bantu sedangkan kuasa besar dunia bersuara juga tidak dihiraukan inikan pula kita pemegang kad nama pelajar. Kalau bukan sekarang waktu kita, sepuluh tahun akan datang masih ada, tapi semuanya kena bermula dari sekarang. Biarpun nampak terlalu jauh dan mungkin Gaza hari ini akan hancur lebur oleh rejim Israel tapi kita tahu mereka tidak akan pernah puas sampai semua umat islam seluruh dunia rebah menyembah bumi ditangan mereka! Kita mampu mengubahnya. Kita belum pernah terlewat selagi kita bercita-cita mengubahnya. Aku mahu berkongsi idea aku dalam memperjuangkan nasib umat seluruh dunia. Bunyi seakan gila tetapi bisa menampakkan sinar jika ianya terlaksana.

            Aku tanya pada kalian yang akan keluar sebagai graduan agama, apa ada pada kita yang  boleh disumbang pada jihad jalan Allah ini? Kalau kita hanya berdiri atas nama kesatuan kita sahaja. Kita tidak pernahkan mampu berjuang. Terfikir tak kalian jika semua anak muda islam yang sedang Allah beri kenikmatan belajar merata dunia ini sekiranya kita bersatu, kita mampu untuk menumbangkan zionis. Seluruh kita, yang belajar agama ada ilmunya dalam al-quran ( Al-quran kitab rujukan paling banyak adanya ilmu untuk kita kupas), yang belajar perubatan ada ilmunya dalam mengetahui seluruh badan manusia, yang belajar kejuruteraan mengetahui selok belok penciptaan, yang belajar pengurusan seni bina (arkitek ) ada ilmunya dalam pembinaan, yang belajar perakaunan ada ilmunya dalam pengiraan dan andai semua kita yang sedang belajar ini bersatu dan menyatukan ilmu kita. Allah! Zioinis akan hancur, Zionis akan hancur.

            Kita tidak perlu untuk memberitahu dunia, kami pelajar islam sedunia sedang merancang untuk menghancur-leburkan Israel dan sekutunya. Setelah kita benar-benar bersedia ketika itu mereka akan tahu umat islam tidak pernah berdiam dengan apa yang mereka lakukan. Biarlah sepuluh tahun lagi baru kita dapat mengajar kebiadapan zionis laknatullah itu asal kita tidak pernah lupa untuk membalas dendam atas darah saudara-saudara kita di Gaza pada hari ini. Nampak seolah karut bukan? Tapi bukankah jika ianya menjadi kenyataan kita adalah umat islam yang bersatu? 48 buah negara islam bersatu, 1 bilion manusia menjadi saf untuk berjuang di jalan Allah. Sudah gentar lutut Israel dan sekutunya melihat kita tika itu, sedangkan sekarang mahu menyerang rumah di Gaza menghantar anjing yang dipakaikan walkie talkie  dan kamera sebelum membunuh mereka. Pengecut! Mereka takut dengan kita sebenarnya, tapi kita tidak mampu menghancurkan mereka kerana kita tidak bersatu dan tidak ada kepakaran dalam semua bidang. Duit? Nuklear? Teknologi? Kita kena jana dari sekarang, kita sangat perlu. Tidak perlu bergantung pada makanan, barangan elektrik, kemudahan mereka. Kita cipta, kita bergabung dan kita menjadi satu! ( kali ini berdua adalah tidak baik ).

            Ayuh teman, kita fikirkan. Sampai bila? Idea gila ini andai terlaksana, kita akan berjaya. Mari kita mantapkan diri kita, kita belajar, kita bekerja tetapi pada masa yang sama kita sedang berusaha menjadi fata untuk berjuang. Hoho~sesuatu yang terlalu sukar tuk dilaksanakan. Moga Allah SWT membukakan jalan untuk kita semua bersatu. Moga akan ada jeneral, komander, serta tentera-tentera yang memegang panji untuk menumbangkan rejim israel dan sekutunya. InsyaALLAH. Kita mohon agar akan ada waktu dan ketika itu. Untuk tika ini, teruslah mendoakan yang terbaik untuk saudara kita di Gaza. Jangan di lupa qunut Nazila dalam setiap solat kita.Wallahu3alam.

P/S : Andai kita bersedia melaksanakan itu,

kita telah bersedia menukar perjuangan pena

kepada perjuangan senjata. AllahuAkbar3x!!!

 

 

~ Kesucian yang dinoda ~

•January 5, 2009 • 1 Comment

al_quds

Palestin oh Palestin,

Semalam ku lihat ibu bertakbir,

Ku lihat kecil merangkak,

Ku lihat tua berdiri,

Dan kulihat pemuda berserban.

Ada ruh Salahuddin di sana.

Bumi suci kami dipijak sang perompak,

Maruah suci kami dinodai,

Sejarah kami di musnah rakus!

Al-Aqsa, dimana?

Akan kenal anakku al-aqsa nanti?

Ya Allah, air mata ibu tua itu,

Ya Allah, kesucian gadis islam itu,

Ya Allah, serak suara ayah itu,

Ya Allah, anak kecil itu!!!

“anak kami keluar di pagi hari, pulang sebagai syahid”

“Palestin itu hanya milik Palestin? Atau milik kita umat Islam?”

Maafkan aku ibu syahid,

Maafkan aku anak kecil.

Aku berdosa ,

Aku pengecut!

Aku islam tidak berjiwa jihad.

Aku terleka, selalu alpa.

Hingga zionis tidak berakal itu hancurkan segalanya.

Tempat suci yang belum aku sendiri jejak,

Tempat suci sejarah agung,

Ayuh sahabat, kita perbetul kelekaan kita,

Marilah satukan hati kita.

Bumi suci itu milik kita,

Kita rampas kembali!

Kembalikan bumi kami,

Kembalikan sejarah agung kami!

Allah, aku tidak mahu terus berdosa.

Biar kering air mata darah ini nanti,

Maruah Al-Quds, akan kita perjuang bersama.

 

P/S : Sungguh berdosa, tiada kata..

khali, melihat air mata anak Palestin.

Aku?

 

~ Aku adalah aku ~

•January 4, 2009 • 10 Comments

 

muharam1

Assalamualaikum wth,

Telah empat hari Januari meninggalkan kita dan Muharam telah menutup tirainya yang enam. Walaupun dikira sedikit terlewat tetapi tidak salah kiranya aku ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijri dan Miladi. Tiba-tiba rasa perlu untuk menulis untuk teratak ini, ada yang ingin aku isytiharkan pada kalian semua. Usiaku akan menjangkau 21 tahun pada tahun ini. Seharusnya, dalam segenap perkara aku telah mampu membawa kematangan seiring umurku. Oleh yang demikian, aku mahu kalian semua bersama-sama membantu aku dalam hijrah ku ini. Hijrah menuju kematangan!

‘ Chip, minta tolong sikit boleh? ‘

‘ Cuba tanya Chip, dia boleh rasanya temankan pergi pasar ’

‘ Terima kasih kak Chip, jaga diri baik-baik ’

Cuba lihat dialog ringkas di atas, apakah perkataan yang berulang ? Jawapannya ? Chip..Chip..Chip.. Asalnya nama ini bermula di Maahad Ahmadi, seorang kawan aku memberikan aku nama ini kerana aku seorang sahaja pelajar perempuan wakil dari kelasku yang menyertai Kadet Remaja Sekolah (KRS). Katanya, aku lebih kurang macam ketua gitu, jadi sesuai nama Chip. Sudahnya melekat sampai sekarang. Bukan tidak suka pada nama itu, aku suka dan sayang pada nama ini. Banyak kenangan bersama nama ini. Tapi setelah kufikirkan, aku harus berubah. Sekiranya aku memasuki alam pekerjaan, di mana nama Chip ini boleh di bawa bersama? Alam rumahtangga, di mana nama ini boleh di bawa ? Alam ‘ibunda’ (buat kata seorangs ahabat) , di mana boleh nama ini ku bawa? Adakah kalian nampak di mana nama ini boleh ku bawa? Tidak bukan?  Maka  aku mengambil keputusan biarlah nama ini menjadi kenangan dalam lipatan sejarah ku.

Dengan ini aku isytiharkan pada semua, aku bukan lagi Chip! Aku Nurzahirah binti Zahid, panggilan aku kini bukan lagi Chip atau kak Chip. Aku mahu  dipanggil Zahirah, kak Zahirah, kak Za (sepertimana adik-adik RINDU panggil), Along Zahirah (gelaran di Maahad Ahmadi) . Senarai nama ini kukira lebih sesuai, sudah tentunya sesuai!  Itu nama yang mak dan abah beri pada along. Ini antara hijrah yang ingin aku lakukan pada tahun ini. Moga kalian sahabat, teman, adik-adik, kakak, abang, serta semuanya memberi sokongan pada ku.  ~ Terima kasih~

Seterusnya, aku mahu berkongsi dengan kalian, sedikit azam tahun baru aku ini. Adakalanya ianya perlu untuk dikhabarkan pada orang lain agar kita rasa lebih bersungguh untuk merealisasikan azam kita. Betul?  Kata sahabat rumahku, banyaknya azam!! Setengah dari buku. Aha~ ku rasa azam terbanyak pernah ku tulis dan semuanya amat bermakna dalam aku melangkah ke alam dewasa. Aku mahu berubah! Meh nak senaraikan sikit azam buat tatapan kalian..hehe~

1.     Aku mahu menjadi hambaNYA yang lebih mengenal erti syukur atas segala nikmat pemberianNYA yang tidak akan mampu untuk di hitung.

2.     Aku mesti menghabiskan tesis ijazah aku dengan baik dan mendapat sepenuh manfaat daripada tesis akhir ku ini.

3.      Aku mesti membuatkan ustazah Buthaina (musyrifah bahas akhir ) merasa bangga mengambil aku sebagai anah buahnya. Dia tidak akan merasa sia-sia mengambil aku.

4.      Aku akan mendapatkan tempat untuk menyambung pengajian dalam bidang sarjana sama ada di Malaysia atau luar sebelum aku pulang ke Malaysia. (Sarjana Ekonomi Islam)

5.      Aku akan memastikan penggunaan bahasa arab aku akan lebih baik dari sahabat bilik aku. ( I will fight you!! )

6.     Aku mahu menjadikan diri aku ini berguna buat keluarga, agama, bangsa juga negara. ( Buka kedai frozen food islam dan francaiskan seluruh Malaysia. Itu akan datanglah..hehe..Angan2 + cita2 )

7.      Yang terakhir ini, aku akan cuba untuk adakan ‘orang dalam’ dalam diri aku..huhu~ ( ini azam paling matang yang pernah aku buat..haha  =D )

Sudah penat menaip. Perlu berhenti, sahabatku zuhor sudah memanggil aku. Perlu menunaikan kewajipan pada yang Maha Hak. Kalau kita jaga hak Allah, Allah akan jaga hak kita.  J

 

P/S: Selamat hari lahir buat

Siti Muti’ah binti Hassan. Moga

Allah kurniakan limpah dan rahmat

buat enti.

 

~ Bukan yang pertama ~

•January 1, 2009 • 5 Comments

733395574l

Assalamualaikum wth,

Lama rasanya ku kira tidak menulis di sini, peperiksaan akhir yang masih belum menemui noktah akhir ini memerlukan sepenuh perhatian dariku. Ku kira kalian juga fahaminya. Jadi untuk tidak membiarkan blog ku ini terusan terbiar tanpa perhatian, sedikit cerpen buat kalian. Emel berangkai yang aku terima petang tadi mengajak aku untuk berkongsi dengan kalian. Ku kira ada yang sudah membacanya dan mungkin ada yang belum membacanya. Apapun semoga bermanfaat buat kita bersama.InsyaALLAH.

 

“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Fikri tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.
“Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan
hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!” pekik Fatimah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.

“Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… Fatimah mula sebak.
“Tak. Maksud saya…”
“Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!” potong Fatimah dengan kasar.
“Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?” suaraFatimah semakin tinggi, setinggi egonya.

Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah’ di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini.
Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu.

Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya.
Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

“Ada hikmah,” bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fatimah.
Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah
jalannya. Jalan yangmembawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak.

Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agamayang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.

Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik denganFatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak ubah sepertilelaki lain.

Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnyasibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya.

Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikrisekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiriperjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak?

Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah
ditanya kepada Fatimah.

“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Fikri tanpa segan silu.
“Sudi,” jawab Nusaibah ringkas.
“Er, betul ke ni?” tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.

“Kenapa saya?” tanya Fikri ingin tahu.
“Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak,” jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.
“Baiklah,” jawab Fikri tersenyum.

Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa dakwahnya semakin laju.

Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawaNusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya.

Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

“Abang, saya nak tanya boleh?” sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.
“Ye sayang?” jawab Fikri sambil memandu.
“Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,”luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
“Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa,” Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.
“Yeke? Dia datang program tu rupanya,” jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri keranausahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.

“Kita dah sampai,” Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya. Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

“Itu isteri pertama abang,” Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.
“Mana bang?” Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri.
“Tak nampak pun,” Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
“Siapa nama isteri pertama abang?” Nusaibah sangat berdebar.
Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

“Perjuangan, ” jawab Fikri.

 

            Nah! Kita adalah isteri kedua. Kita memang akan dimadukan!!  Sungguh isteri yang pertama itu telah lama hadir di dalam hidup bakal suamimu dan dialah perjuangan. Sungguh kehadiran kita hanyalah sebagai penguat serta sayap kiri buat bakal suami kita dan bukannya penghalang buat perjuangan mereka.

Kiranya kau bakal seorang suami, ketahuilah kau bahawa kau bukan pertama yang bertakhta dihatinya tetapi kau adalah yang kedua. Suami pertamanya ialah perjuangan islam untuk dimartabatkan. Dia mencintaimu kerana kau mencintai islam.

Aku kira biar tidak menjadi yang pertama, kerana yang pertama tidak akan menjadi milik sesiapa jua. Biarlah kita menjadi yang terakhir dalam hati pasangan kita, kerana itu aku kira lebih bermakna. Kerana selepas kita tidak akan ada siapa yang akan disayangi dan dicintai. ‘Andai jalan ini yang telah kita pilih, moga istiqomah’.

 

P/S : Buat adikku di Malaysia, moga ketemu

jawapan buat persoalanmu, Along sentiasa

doakan yang terbaik buat kamu. J

~Teristimewa~

•December 23, 2008 • 5 Comments

 

abah-dan-emak2 

 Asslamualaikum wth,

Baru pulang dari jamiah, ada exam terjemah tapi tak sampai turn exam  lagi, jadi kiranya bersedia lagi untuk esok pula.huhu~ Inilah dia Universiti Mohamed V yang amat aku sayangi, dengan exam  tidak ada jadual dan musim pelajar berkampung di universiti dari pagi hingga petang. Kalau orang lain exam dua minggu kami exam  sebulan, campur terus exam mid term + exam final  terus, aha~ menarikkan? Walau apapun itu hanya sebahagian sahaja ujian buat penuntut ilmu ini. ~Berusaha~

            Semalam sempat ke Kenitra menjenguk adikku yang baru keluar dari hospital, bawa bersama sedikit bubur jagung + sagu (tambahan delima yang sudah lama dalam peti ais yang tak dimakan, aha~ memandai menambah perisa) yang aku buat malam sebelumnya. Turun dari keretapi terserempak dengan Sherot yang dalam perjalanan pulang ke Rabat. Lantas dia menjadi sasaran temanku ke DaruzZak. Alhamdulillah semakin ceria adikku. Katanya , senang hati kak balik rumah, boleh relax dengan selesa. Hehe..Rumahku Syurgaku, sahabatku keluargaku~

            Teringat cerita adik-adik pada aku, masa nak keluar semua orang di hospital bercerita betapa baiknya pelajar Malaysia, kekaguman mereka biarpun antara sahabat kita yang  sakit dan pelawat tiada kaitan kekeluargaan tetapi kita menjaga sahabat kita ini seolah keluarga. Sudah kerap kali soalan kamu semua ahli keluarga? Tak, kami tak kenal masa di Malaysia, kami jumpa di sini dan berkawan di sini. MashaALLAH hebat-hebat. Ukhwah seolah keluarga. Jawapan biasa orang Moroko. Pelik tak kalau di Malaysia orang sakit tiada siapa jaga atau tunggu waktu malam? Pelik kan? Maka akan terbitlah kata, kasihan dia, tak ada orang jaga. Tiada ahli keluarga agaknya orang tu. Tapi di sini, mereka pelik tengok kita jaga sahabat kita, tidur malam di hospital. Memang sepanjang aku di hospital, memang tiada ahli keluarga yang menjaga pada waktu malam. Huhu~ hebatnya kita?

            Tapi bila difikirkan semula, pujian itu bukan untuk kami. Pujian itu seharusnya diberikan pada ibu bapa kami. Ibu bapa kami yang mencorak kami sehingga kami menjadi begini. Ibu bapa yang meletak kepercayaan pada kami hingga kami mampu terbang sejauh ini. Tentu bangga ibu bapa kami kalau mereka mengetahui anak-anak mereka ini membawa nama baik mereka hingga ke sini. Tahniah kepada semua ibu bapa yang berjaya mendidik anak Malaysia di Moroko ini menjadi orang yang prihatin, bertanggungjawab, murah hati dan penuh dengan sifat kasih sayang. Terima kasih mak, abah, pak cik dan mak cik atas apa yang telah kalian tanam dan cambahkan dalam diri kami ini. Sabda Rasulullah SAW,  Setiap anak dilahirkan secara fitrah, kedua-dua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Hadis riwayat Bukhori dan Muslim)

            Teringat kata-kata Ustazah Bushra 3alam (Lec. Maqosid) kepada emak sahabatku yang berkunjung ke universiti kami tahun lalu, “Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada puan kerana melahirkan seorang anak yang beradab dan berbudi bahasa ini”. Wah! Bayangkan betapa bangganya emak sahabat ku ini. Dalam hatiku berkata, alangkah indah kalau emak kita yang mendengar bicara ini. ~Rindu emak~ Sungguh yea kita telah banggakan mak dan ayah kita? Sungguh ke heh? Aduh~ susahlah nak jawab soalan ini, kadang-kadang aku rasa tanpa sedar aku telah pun buat mak dan abah terasa. Especially  emak…huhu~ ( Emak saya punyai hati yang amat lembut. Walaupun sentiasa menampakkan kegarangannya, tapi Along tahu emak tak garang pun =D ). Seminggu dua ini asyik menelefon emak. Erm, hakikatnya aku rindu sangat pada keluarga. Rasa nak balik Malaysia tahun depan. Tapi, harus berfikir banyak perkara. Balik ke tak yea?

            Tiada apa yang mahu di tulis lagi. Cuma mahu mengajak kalian berfikir sungguh kita ini sudah cukup baik buat ibu, bapa, adik, kakak, abang, mak cik, pak cik, masyarakat bangsa dan yang pentingnya agama? Apa puji-pujian yang sudah banyak kita terima itu menjadi tanda betapa kita telah berjaya menjadi manusia berguna? Sungguh kawan, pujian itu bukan untuk kita tetapi buat mereka yang telah mendidik kita. Mereka yang selalu menangis dalam sujud dan doanya untuk kita. Mereka yang selalu meletakkan kita di tempat istimewa dalam hati mereka. Mereka yang tidak pernah melupakan kita dalam gelak, tawa, dan tangis mereka, mereka yang telah puas kita kerah keringat untuk memenuhi keinginan kita, dan mereka benar-benar terlalu istimewa dan kita telah meletakkan keistimewaan mereka bila mana kita dalam kesunyian dan kesusahan. Itulah mereka. Emak dan ayah kita!

“ Ya Allah, ku mohon agar suaraku ini sentiasa lunak di pendengaran kedua ibu bapaku, tingkah laku serta perbuatan ku sentiasa santun buat mereka, Kau peliharalah Ya Allah kedua ibu bapa ku sepertimana telah mereka memelihara sedari kecil hingga kini Ya Allah dan kau ampunilah dosa keduanya serta tempatkan mereka dalam golongan orang yang Kau rahmati dan berkati.Amin~”

P/S : Sebelum terlupa,

Selamat Hari Lahir ke 20,

Siti Syazwani bt. Che’ Ros,

moga dimurahkan rezeki dan

diberkati segalanya.Amin~